Tuesday, March 30, 2010

Aplikasi Internet

(a) Komunikasi

Mail Elektronik (E-mel) merupakan antara perkhidmatan internet yang digunakan dengan meluas. Selain itu, listservs, Newsgroups dan Chat juga merupakan perkhidmatan internet yang membolehkan kita berkomunikasi. Sesiapa sahaja boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan komputer yang dihubungkan dengan internet. Melalui kajian Hampton (2000) terhadap 40,456 responden di Amerika Syarikat. Dapatan kajian mendapati bahawa terdapat hubungan positif antara penggunaan e-mel. Kajian menunjukkan semakin kerap seseorang menggunakan internet maka semakin kerap mereka berhubung dengan rakan atau -saudara melalui e-mel. Ini jelas menunjukkan penggunaan e-mel dapat membentuk isolasi masyarakat.

Melalui penggunaan e-mel juga, guru dengan pelajar boleh menyertai kumpulan perbincangan untuk bersoaljawab, bincang soalan dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh guru dengan mengunakan e-mail ialah:-

i. Berkomunikasi secara dalaman dan luaran sesama guru, ibu-bapa, pelajar, dan pihak jabatan serta kementerian.

ii. Mendapatkan khidmat nasihat pakar dan bantuan teknikal.

iii. Berkongsi dan bertukar pendapat berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran ;teknik pengajaran terbaik, idea kreatif dan inovatif, latihan dan penilaian, bahan bantu mengajar dan sebagainya.

iv. Menghubungi agensi pusat dan swasta serta institusi pendidikan lain mengenai sesuatu program dan polisi yang di gunakan khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh pelajar melalui e-mail ialah:

i. Berkongsi menjalankan sesuatu projek dengan pelajar di sekolah-sekolah lain.

ii. Berbincang dengan rakan dari kalangan berbagai budaya dan latar belakang negara mengenai berbagai isu semasa.

iii. Mengalakkan perkembangan bahasa terutama bahasa Inggeris melalui komunikasi dengan rakan pena di luar negara.

iv. Memperolehi bahan dan teknik di dalam menyelesaikan sesuatu masalah pelajaran secara "on-line".

(b) Perolehan Maklumat

Terdapat banyak maklumat yang menarik dan pelbagai untuk guru dan pelajar dalam internet. Maklumat tersebut tersedia dalam Web dalam bentuk pangkalan data, dokumen, maklumat kerajaan, bibliografi atas talian, penerbitan dan perisian komputer. Kebanyakannya adalah maklumat terkini, tersedia dengan percuma dan dapat dicapai dengan cepat. World Wide Web, juga digelar Web atau WWW adalah aplikasi internet yang berfungsi dengan menggabungkan teks dan grafik dalam satu dokumen atau antaramuka pengguna yang sama.

Web juga mampu menggabungkan audio, video dan juga animasi dalam satu dokumen yang sama. Oleh itu, dokumen Web boleh dianggap sebagai sebuah dokumen multimedia. Ia juga adalah dokumen hiperteks yang mengandungi pautan ke dokumen-dokumen lain atau lokasi lain dalam dokumen yang sama. Dokumen hiperteks ini ditulis mengikut format atau bahasa yang dikenali sebagai Hypertext Markup Language (HTML). Gabungan multimedia dan hiperteks ini menjadikan Web sebagai satu aplikasi hipermedia yang unik.

Maklumat-maklumat yang terkandung di dalam internet meliputi pelbagai kategori dari seluruh dunia. Maklumat-maklumat ini sentiasa dikemaskini supaya maklumat yang dipaparkan sentiasa terkini dan tepat. Maklumat ini berbeza dengan meklumat dari buku yang jarang dikemaskini. Maklumat-maklumat yang boleh diakses ini memudahkan guru dan pelajar mencari maklumat untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Malah guru yang kreatif boleh membina laman web sendiri bagi memudahkan pelajar mengaksesnya bagi tujuan pembelajaran subjek yang diajar. Menurut Collis & Anderson (1995) akses internet di sekolah-sekolah memberikan faedah yang tidak bernilai kepada pelajar. Jadual 3 di bawah menunjukkan peratusan pengguna mengakses internet daripada pelbagai lokasi.

Kemudahan internet tidak mudah dicapai dalam tahun 2005 dan 2006. Akan tetapi kini setiap invidu mampu milik komputer peribadi dan kemudahan internet seperti Streamyx, Jaring, Broadband dan 3G menawarkan pakej harga bulanan yang murah dan mampu dibayar oleh pelanggan khususnya pelajar di IPTA. Bagi menyempurnakan hasrat ini, kerajaan telah memudahkan kita dengan memberikan kelonggaran untuk mengeluarkan wang simpanan masing-masing melalui akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebanyak RM3500.00 bagi pembelian komputer untuk ahli-ahli KWSP.

Dari sini kita sedar, maklumat-maklumat yang bakal dapat dan guna dari penggunaan komputer itu sangat bergunaTeknologi komputer telah terbukti sebagai mesin elektronik yang anjal dan berkeupayaan tinggi. Kepantasan dan kecekapan komputer dalam melaksanakan tugas-tugas yang melibatkan pengiraan yang tepat serta menganalisis dan meramal keadaan cuaca, meletakkan kedudukan komputer sebagai media yang semakin diperlukan dalam kehidupan kita.

(c) Penyiaran Maklumat

Guru dan pelajar boleh menyiarkan bahan-bahan dalam internet. Proses penyiaran melalui internet adalah lebih cepat dan murah berbanding dengan saluran tradisional. Hasil kerja pengajar dan pelajar boleh dihantar ke internet supaya seluruh dunia dapat membacanya atau membuat penilaian terhadap sesuatu pengajaran yang dibangunkan. Kreativiti dan inovasi guru juga dapat dipaparkan melalui internet bagi pembangunan dan pengembangan kerjaya seseorang guru dalam bidangnya. Dengan adanya penyebaran maklumat secara global ini, ia juga dapat menaikkan lagi nama sesebuah institusi pengajian.

(d) Pembelajaran interaktif dalam talian

Internet telah membolehkan perkhidmatan dan program latihan disalurkan melalui talian dan diakses secara jarak jauh. E- Learning atau pembelajaran melalui online adalah pembelajaran yang pelaksanaanya didukung oleh jasa teknologi seperti telefon, audio, videotape, transmisi satelit atau komputer. Menurut Lowe (2000) staf akademik dan pelajar mendapati pembelajaran secara talian merupakan satu kaedah yang menyenangkan pembelajaran dan pengajaran.

Pembelajaran ini membolehkan pelajar belajar di mana sahaja dan pada masa yang dipilih oleh pelajar. Ini membolehkan pelajar menguruskan sendiri masanya dengan lebih efektif. Pembelajaran secara maya ini juga melibatkan penggunaan kos secara efektif. Pembelajaran secara interaktif secara talian membolehkan pelajar meneroka maklumat baru menerusi perpustakaan digital atau laman web. Pelajar berpeluang mendapatkan pengalaman berbincang dengan pakar dari universiti melalui e-mel atau blackboard. Apabila semakin banyak teknologi diperkenalkan dalam bidang pendidikan, pendidikan jarak jauh menyediakan satu cara untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan secara global.

Kebaikan pendidikan melalui e-pembelajaran adalah seperti yang berikut:

i. Pelajar boleh belajar mengikut tahap sendiri berdasarkan keupayaannya.

ii. Belajar mengikut lokasi yang sesuai samada di pejabat, rumah, universiti dan masa santai kerana kemudahan internet ini boleh diakses di mana sahaja lebih-lebih lagi dengan adanya 3G.

iii. Pelajar boleh melibatkan diri dalam program yang ditawarkan oleh universiti, kolej, dan kumpulan lain yang menawarkan program berprestij dan berkualiti tanpa berpindah lokasi.

iv. Pembelajaran melalui e-pembelajaran membolehkan pelajar dilatih untuk menggunakan pelbagai teknologi seperti pemain CD, penyiaran komputer, rakaman pita video dan lain-lain.

v. Pelajar boleh mengarahkan pembelajaran mereka sendiri akan tetapi panduan pembelajaran diperlukan untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.Pelajar perlu bertanggungjawab terhadap program pengajiannya, menyelesaikan tugasan dalam tempoh masa yang ditetapkan, mengumpul maklumat dan membangunkan kemahirannya.

Sejarah Internet di malaysia

Kewujudan internet di negara ini bermula apabila Rangkaian Komputer Malaysia (Rangkom) diwujudkan pada tahun 1987. Sungguhpun demikian, MIMOS yang ditubuhkan pada tahun 1985 telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan perkhidmatan internet kerana projek RangKom terbesar menjadi projek “Joint Advanced Research Integrated Network” atau dikenali sebagai rangkaian bersepadu “JARING” pada taun 1991. Projek ini mempromosikan pertukaran maklumat dan pembangunan pangkalan data melalui capaian internet dengan kos yang tidak membebankan.

Negara kita memasuki era internet apabila JARING menjadi Internet Service Provider (ISP) yang pertama, diikuti oleh TMNet sebagai ISP kedua pada tahun 1996, MAXIS, ISP ketiga dan Time Telekom dan ISP keempat pada tahun 1999. Dianggarkan pada bulan November tahun 1999 terdapat hampir 630,000 orang pelanggan internet di Malaysia dan meningkat ke 1,157,384 orang pada tahun 2000 (Malaysia, 2001). Internet terus berkembang di negara ini bukan sahaja daripada peningkatan capaian oleh orang ramai, malah dari segi teknologi dalam pendidikan juga mengaplikasikan teknologi ini.

Pada tahun 2007, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Verizon Business hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi meninjau kemampuan menubuhkan Hab Internet Protokol (IP) Malaysia. MOU ini menyokong agenda kebangsaan Malaysia bagi membolehkan syarikat-syarikat Malaysia memanfaatkan kemampuan komunikasi IP termaju. Melalui perjanjian ini membolehkan Malaysia sebagai hab Internet rantau Asia-Pasifik, untuk syarikat-syarikat dalam negara mendapat manfaat daripada perkhidmatan IP tempatan. Dengan penubuhan hab tersebut bersama Verizon Business, syarikat-syarikat milikan asing dan tempatan yang berada di Malaysia berpeluang menggunakan teknologi rangkaian IP termaju serta membuat persediaan untuk perkhidmatan komunikasi masa depan. Ini adalah kerana Rangkaian IP Verizon Business adalah salah satu rangkaian IP terbesar dan paling disegani dalam industri dan salah satu daripada syarikat rangkaian Tahap-1 yang paling tersohor di dunia. Ini terdiri daripada 3 angka utama Sistem Autonomous (AS), iaitu AS701 untuk rangkaian IP Amerika Utara, AS702 untuk rangkaian IP Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) dan AS703 untuk rangkaian IP Asia Pasifik (APAC).

Perkongsian ini akan menghasilkan penjimatan kos yang signifikan bagi TM dan Pembekal Khidmat Internet (ISP) lain kerana pertanyaan dan lalu-lintas Internet hanya terbatas dalam negeri. Selain itu, pengguna Internet mampu mengakses tapak web antarabangsa dengan lebih cepat. Di samping itu, permuafakatan ini akan membuka ruang baru dalam perkongsian laluan Internet ke Malaysia oleh para pembekal ISP Tahap-1 seperti dari Korea, Jepun, China dan India , sekali gus memantapkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab IP utama di rantau ini dengan kemampuan setanding negara-negara yang telah terlebih dahulu menempa nama di rantau ini. Kepesatan penggunaan internet yang berkadaran dengan komputer telah meningkat dari setiap tahun di seluruh dunia

Sejarah Internet

Internet atau ‘Internasional Network of Networks’ merupakan sebuah rangkaian gergaji komputer di peringkat antarabangsa (TMB, 1998) dan merupakan cara komputer berkomunikasi antara satu sama lain (Crumlish, 1996). Ia mengandungi lebih daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta komputer hos dan lebih daripada 50 juta pengguna dari lebih 160 buah negara (Zoraini, 1995). Negara kita telah meletakkan ICT dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3, 2001-2010) sebagai media utama untuk membina pengetahuan baru dan meransang berkembangan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Internet ini telah dimulakan di Amerika Syarikat dalam tahun 1969 melalui satu rangkaian yang dikenali sebagai ARPANET (Advance Research Projects Agency Network). Tujuan ARPANET ini dibangunkan adalah supaya penyelidik dan ahli sains dapat saling bertukar maklumat ketenteraan dengan mudah. Pada tahun 1972, ARPANET menggunakan Network Control Protocol (NCP) untuk memindahkan data yang memberi laluan untuk pengguna berkomunikasi dalam rangkaian yang sama. Pada tahun tersebut juga e-mel telah diperkenalkan supaya setiap individu dalam berhubung melalui maya tanpa sempadan. Pada tahun 1979, kumpulan diskusi UseNet ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1982, NCP telah ditukar kepada TCP atau IP (Transmission Control Protocol). Protokol ini telah diperkembangkan oleh satu kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Vinton Cerf dan Bob Khan. Protokol ini telah membolehkan pelbagai rangkaian komputer berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain. Pada tahun 1982 juga, istilah internet telah digunakan secara rasmi (Net Timeline, 2000).

Pada tahun 1989, National Science Foundation (NSF) telah menubuhkan 5 pusat wilayah ‘superkomputer’ yang boleh dikongsi bagi tujuan penyelidikan akademik. Ini merupakan permulaan kepada World Wide Web (WWW). Pada tahun 1991, Ghoper dan WAIS (Wide Area Information Service) telah diperkenalkan dan seterusnya pada tahun 1993 Mosaic diperkenalkan. Ia merupakan pengimbas web yang kemudian diambil alih oleh Netscape Navigator. Pada tahun 1994, NSF mempunyai 5000 pusat wilayah dan merangkumi pelbagai agensi, kampus universiti dan perniagaan.

Perkembangan pesat dalam teknologi multimedia dan teknologi internet membawa nafas baru dalam dunia pendidikan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi. Gabungan kedua-dua teknologi ini semakin merancakkan lagi penggunaan teknologi tersebut dalam bidang pendidikan. Ini adalah kerana sejak kebelakangan ini penggunaan teknologi World Wide Web atau internet menjadi begitu dominan dalam kehidupan manusia. Penggunaan teknologi ini telah berkembang dengan pesat dalam sistem pendidikan negara samada di peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Pembelajaran menerusi internet atau web adalah pendekatan baru yang semakin mendapat perhatian dan ia masih dikaji daripada pelbagai aspek oleh golongan pendidik

Pengenalan

Komputer adalah alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. Ia sesuai untuk dijadikan alat bagi membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berkemampuan menerima dan memproses data. Komputer juga membantu pengajar mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan sistematik. Pengajaran yang disertakan dengan alat bantu mengajar terkini akan dapat menambah minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Di samping itu, jika komputer dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru, ia mampu menyelesaikan sebarang masalah pengajaran dan pembelajaran. Ini selaras dengan pandangan Heinich (1996) yang menyatakan bahawa komputer dapat memperkayakan teknik pengajaran. Menurut Merrill (1986) pula, komputer adalah mesin memproses maklumat yang perlu diberikan arahan oleh penggunanya. Arahan ini boleh disampaikan menerusi peralatan input seperti papan kekunci, pengimbas (scanner), kad, joystick, tetikus, pad grafik dan unit pemprosesan pusat (CPU).

Heinich (1996) menyatakan komputer berkemampuan mengawal dan mengurus bahan pengajaran yang banyak. Kemampuan komputer berinteraksi dengan pengguna membolehkan pengajar-pengajar menerapkan pengajaran dan pembelajaran secara lebih mudah serta menarik. Bitter (1989) pula menyatakan komputer boleh bekerja pantas serta beroperasi 24 jam tanpa berhenti dan maklumat yang dikeluarkannya dengan tepat. Penggunaan komputer ini ada hubungkaitnya dengan teknologi maklumat dan komunikasi yang kini diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara. Ini adalah kerana komputer dijadikan sebagai pangkalan data, dapat memberikan maklumat yang dicari atau diminta oleh orang ramai. Perlaksanaan konsep Sekolah Bestari iaitu salah satu contoh aplikasi perdana dalam Koridor Raya Multimedia adalah usaha kerajaan yang berterusan bagi membentuk generasi baru yang mempunyai daya saing dalam era teknologi maklumat dan komunikasi.

Satu perkembangan yang amat ketara dalam dunia masa kini ialah berlakunya ledakan teknologi maklumat. Dengan adanya kemajuan dalam telekomunikasi, komputer yang dihubungkan dengan jaringan internet telah membolehkan banyak maklumat diperolehi dengan cepat. Inovasi dalam teknologi maklumat ini dapat menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat (Nik Azis, 1996). Menyedari hakikat ini, kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk terus memperkembangkan teknologi komunikasi dan maklumat ini dengan menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Tujuh aplikasi utama dalam MSC terdiri daripada kerajaan elektronik, tele-perubatan, sekolah bestari, kad pintar, pemasaran tanpa sempadan, kelompok penyelidikan dan pembangunan dan jaringan perusahaan sedunia. Ketujuh-tujuh aplikasi ini mewujudkan telekomunikasi global berkeupayaan tinggi yang membawa Malaysia kea rah negara maju dan makmur (MDC, 2000).

Sejajar dengan teknologi ICT juga, kerajaan telah menubuhkan sekolah bestari yang telah memperlihatkan kesungguhan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mentransformasikan pendidikan agar bangsa Malaysia abad ke-21 ini bukan sahaja menguasai teknologi maklumat malah berupaya merealisasikan Wawasan 2020. Transformasi ini telah mengubah anjakan paradikma pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidkan negara khususnya dalam meningkatkan minat pelajar, meningkatkan kreativiti dan pengetahuan pelajar melalui penggunaan teknologi multimedia dan jaringan seluruh dunia.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melihat ICT sebagai suatu alat untuk merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, memperkembangkan pedagogi, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, melahirkan hubungan yang lebih kuat di antara sekolah-sekolah dan masyarakat, dan meningkatkan penguasaan pelajar. Konsep ICT dalam pendidikan dari kaca mata KPM merangkumi 3 polisi utama:

i. ICT untuk semua pelajar, bermaksud bahawa ICT digunakan sebagai sesuatu yang boleh mengurangkan jurang digital antara sekolah.

ii. Fungsi dan peranan ICT di dalam pendidikan adalah sebagai suatu alat pengajaran dan pembelajaran, sebagai sebahagian daripada subjek tersebut, dan sebagai sesuatu subjek tersendiri.

iii. Menggunakan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sesuatu sistem pengurusan.

Selain daripada bidang pendidikan, perkembangan persekitaran global telah memberi kesan besar kepada usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya saing. Memandangkan ICT merupakan penentu utama dalam proses pembangunan bagi meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai, usaha akan dipergiat untuk mengarusperdanakan akses kepada perkhidmatan dan kemudahan ICT secara meluas serta menggalakkan penerimaan dan penggunaan ICT secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.